KKM Kenakan Kompaun RM120 Juta Kes Ubat Tidak Berdaftar

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan kompaun berjumlah RM120 juta terhadap pelbagai kesalahan melibatkan penjualan dan pengedaran ubat tidak berdaftar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata tindakan itu diambil melalui penguatkuasaan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984.

Menurut beliau, isu ubat tidak berdaftar semakin mencabar apabila penjual kini memanfaatkan platform digital untuk mempromosi dan menjual produk secara tidak sah.

“Kita bukan sahaja berdepan penjualan ubat tidak sah, tetapi berlaku juga peningkatan promosi ubat-ubatan melalui media sosial dan platform dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Lukanisman berkata, Bahagian Farmasi KKM telah mengadakan sesi libat urus bersama pengendali platform e-dagang bagi menurunkan iklan berkaitan ubat yang melanggar undang-undang.

“Mereka dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial seperti Live TikTok untuk menjual atau mempromosi ubat-ubatan, terutama produk penurunan berat badan dan kecantikan” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN–Sembrong) mengenai tindakan penguatkuasaan lebih tegas termasuk pemantauan platform e-dagang dan kerjasama antara agensi kerajaan.

Dalam masa sama, Lukanisman turut mengulas isu kekurangan bekalan ubat asas dan kenaikan harga melibatkan rawatan penyakit kronik. Katanya, KKM telah melaksanakan beberapa langkah segera termasuk pemantauan stok melalui Sistem Maklumat Farmasi (Pharmacy Information System) bagi mengelakkan gangguan bekalan di fasiliti kesihatan.

“Jika berlaku gangguan pembekalan, mekanisme perolehan alternatif terus dilaksanakan supaya rawatan pesakit tidak terjejas,” ujarnya.

Kerajaan juga memperkukuh pengeluaran farmaseutikal tempatan melalui beberapa skim seperti Skim Anak Angkat, Skim Panel Pembuat Bumiputera (SPPB) dan Skim Panel Pengilang Tempatan (SPPT), selain menjalankan perolehan bersama dengan beberapa kementerian untuk mendapatkan harga lebih kompetitif.

Beliau berkata KKM turut melaksanakan diversifikasi pembekal bagi mengurangkan kebergantungan pada satu sumber, selain mengambil tindakan termasuk amaran, penalti dan penamatan kontrak terhadap pembekal yang gagal memenuhi kewajipan pembekalan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat