PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperhebat usaha membendung penghijrahan pakar kesihatan ke luar negara susulan sesi temu duga terbuka yang dianjurkan oleh agensi pencarian bakat dari Singapura.
Sesi temu duga berkenaan, yang berlangsung di lokasi berprofil tinggi seperti KLCC serta institusi pengajian tinggi tempatan telah mencetuskan kebimbangan terhadap keberadaan dan masa depan tenaga kerja kesihatan awam Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyifatkan situasi ini sebagai cabaran besar dalam mengekalkan profesional kesihatan yang berkemahiran tinggi.
“Kita tidak boleh sekat pengamal perubatan mencari peluang luar tetapi kita boleh perkukuh sistem agar mereka mahu kekal berkhidmat di tanah air,” katanya.
Sebagai langkah tindak balas, KKM kini melaksanakan reformasi menyeluruh merangkumi kenaikan gaji 13 peratus di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), peluasan laluan kepakaran dan penawaran jawatan tetap kepada lebih 2,200 pegawai kontrak dan penambahbaikan sistem penempatan dan pembangunan kerjaya.
Katanya, turut diberi perhatian ialah cabaran dalaman yang menjejaskan motivasi profesional kesihatan seperti keletihan melampau, gangguan di tempat kerja dan budaya toksik.
Bagi menangani isu ini, Dr Dzulkdefly berkata, KKM memperkenalkan garis panduan dan mekanisme siasatan dalaman yang lebih tegas untuk memastikan persekitaran kerja yang lebih sihat dan menyokong.
Dalam usaha memperkukuh daya tahan sistem kesihatan negara secara menyeluruh, beliau berkata, KKM turut menugaskan kajian bebas oleh Strategic Engagement Group (SEG) yang mencadangkan penubuhan Lembaga Tadbir Urus Sumber Manusia Kesihatan.
Menurutnya, entiti itu bertujuan menyelaras penyelesaian melangkaui sempadan kementerian.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru kerjasama lintas agensi dalam menghadapi isu penghijrahan pakar kesihatan secara lebih bersepadu.
“Isu ini bukan tanggungjawab KKM sahaja, ia perlu pendekatan ‘whole-of-nation’ dengan kerjasama agensi seperti JPA, MOF, KPT dan KESUMA,” ujarnya lagi.