PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia dan meningkatkan kesejahteraan warga kerja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan satu inisiatif baharu yang dijangka membawa perubahan besar kepada sistem penempatan kakitangan dengan Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S).
Dilancarkan secara rasmi pada 1 Oktober 2025, KKM berkata, P3S membolehkan penjawat awam di bawah kementerian itu membuat pertukaran tempat bertugas secara sukarela dan saling bersetuju tanpa perlu melalui proses birokrasi yang rumit.
“Sistem ini membolehkan warga kerja KKM membuat permohonan pertukaran penempatan secara suka sama suka melalui portal Bahagian Kejururawatan.
“Sebelum ini, proses pertukaran pegawai KKM dilaksanakan secara manual.
“Disebabkan jumlah permohonan yang tinggi, proses sering mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi.
“P3S kini menjadi platform rasmi untuk mempercepat padanan, memperkemas aliran kerja serta menjadikan proses lebih telus dan adil tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada” menurut KKM satu kenyataan pada Rabu.
KKM berkata, langkah itu dilihat sebagai satu pendekatan progresif dalam menangani isu penempatan yang sering menjadi keluhan dalam kalangan kakitangan kesihatan.
Dengan memberi kuasa kepada individu untuk menentukan lokasi kerja mereka secara sukarela, KKM berharap dapat meningkatkan kepuasan kerja dan keseimbangan kehidupan peribadi serta profesional.
Lebih menarik katanya, sistem itu akan diperluaskan secara berperingkat kepada kategori jawatan lain dalam KKM, menjadikannya satu transformasi menyeluruh dalam pengurusan sumber manusia kementerian.
“Selepas skim jururawat, P3S akan diperluas secara berfasa mulai 2026 kepada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi,” katanya.
KKM menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara melalui pendekatan yang lebih manusiawi dan berfokus kepada kesejahteraan kakitangan.
“Pelaksanaan P3S mencerminkan komitmen KKM dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan warga kerja kesihatan, mengurangkan karenah birokrasi dan seterusnya meningkatkan kecekapan pentadbiran.
“Ia sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta terutamanya dalam memperkukuh sistem kesihatan negara,” kata kenyataan itu.








