KOTA KINABALU: Dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Rabu memeterai kolaborasi strategik yang menyasarkan transformasi kesihatan digital secara menyeluruh khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
KKM dan MCMC dalam satu kenyataan berkata, projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron akan dilaksanakan di Sabah dengan Klinik Kesihatan Tawau sebagai pusat utama penghantaran ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
“Sabah dipilih berdasarkan liputan rangkaian 4G (94.4%) dan 5G (69%) yang stabil serta cabaran geografi yang menuntut penyelesaian inovatif,” menurut kenyataan itu.
Katanya, antara lapan inisiatif utama yang bakal digerakkan ialah penyediaan prasarana komunikasi kesihatan masa depan, perlengkapan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik desa dan komuniti, kiosk telekesihatan di NADI dan penghantaran ubat menggunakan dron ke kawasan sukar akses.
Selain itu tambahnya, langkah keselamatan siber di fasiliti kesihatan, geran pengadaptasian EMR, penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar dan penyertaan Malaysia dalam platform kesihatan digital global.
Menurutnya lagi, inisiatif ini akan diperluas melalui 1,099 Pusat NADI di seluruh negara dan menjadikan kiosk telekesihatan sebagai gerbang utama kepada konsultasi maya bersama doktor.
“Teknologi pengkomputeran awan dan platform e-Kesihatan akan menyokong rawatan susulan, pemantauan pesakit dan penghantaran ubat ke kawasan terpencil,” katanya.
KKM dan MCMC berkata, kerjasama itu juga memberi penekanan kepada literasi digital kesihatan dalam kalangan komuniti setempat bagi meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan dan keberkesanan perkhidmatan digital.
“KKM amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mampu memperkukuh sistem kesihatan awam dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan mesra rakyat.
“Ia adalah pendekatan yang signifikan bagi mendepani cabaran penjagaan kesihatan masa kini terutamanya di kawasan yang sukar mendapat akses,” ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Langkah ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kesihatan digital serantau dan merealisasikan misi ‘1 Individu, 1 Rekod’.