PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in.
Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan bahawa meskipun sistem janji temu menjadi kaedah utama dalam pengurusan rawatan pesakit, kemudahan untuk pesakit tanpa janji temu masih disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas serta golongan yang menghadapi kekangan akses teknologi.
Menurut KKM, pesakit walk-in tetap akan menerima rawatan namun perlu melalui proses penilaian awal atau triage bagi menentukan tahap keutamaan dan keperluan rawatan.
“Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan berdasarkan slot masa yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.
Tambahnya, maklumat berkenaan adalah tidak benar dan mengelirukan masyarakat.
KKM turut menegaskan bahawa pihaknya memahami perbezaan tahap akses teknologi dalam kalangan masyarakat, justeru perkhidmatan walk-in diteruskan bagi memastikan semua lapisan rakyat mendapat akses rawatan kesihatan yang adil dan saksama.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang disebarkan di media sosial, sebaliknya merujuk saluran rasmi kementerian bagi mendapatkan maklumat tepat berkaitan perkhidmatan kesihatan awam.
Baca juga:;








