KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti rawatan dan perkhidmatan jagaan kesihatan yang dijalankan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen, susulan peningkatan aduan dan kebimbangan orang awam terhadap keselamatan serta kelayakan penyedia perkhidmatan.
Menurut kenyataan media KKM, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dilaksanakan secara berterusan melalui pemantauan, siasatan berasaskan aduan serta operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini (2021–kini), sebanyak 1,020 aduan telah diterima berhubung perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau berlesen.
“Daripada jumlah itu, 320 serbuan telah dijalankan, 126 kertas siasatan dibuka dan 194 kes telah diberi amaran serta teguran.
“Sebanyak 70 kes sedang atau telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah,” kata kenyataan itu.
KKM berkata, penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan hanya boleh dilakukan di premis berdaftar atau berlesen di bawah Akta 586.
“Penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau berlesen merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 586 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menggalakkan orang awam dan profesional kesihatan menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi ([email protected]) agar tindakan susulan dapat diambil secara berhemah dan berasaskan bukti.
“Keselamatan pesakit dan orang awam serta kualiti perkhidmatan jagaan kesihatan merupakan keutamaan KKM yang perlu diambil berat bersama oleh semua pihak,” tambah kenyataan itu.








