Oleh: Tyah Helmi
JOHOR BAHRU: Terdapat penularan satu kluster penyakit Tuberkulosis (tibi) di Kota Tinggi, Johor ekoran pengesanan 33 kes positif hasil saringan terhadap 804 kontak rapat setakat 4 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kluster berkenaan dikenal pasti pada 25 Januari dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini berada di lapangan bagi melaksanakan tindakan agresif demi membendung penularan wabak tersebut.
Menurutnya, semua individu yang disahkan positif telah menerima rawatan sewajarnya dan sedang dipantau rapi oleh pihak KKM.
“Semua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan berada dalam pemantauan rapi KKM,” katanya menerusi hantaran di laman X, lewat malam tadi.
Dzulkefly turut memaklumkan satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun menegaskan ia bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Beliau berkata, KKM kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi dengan langkah pengesanan kes secara aktif atau ‘Active Case Detection’ akan diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti setempat terus terjamin.
Sehubungan itu, penduduk sekitar yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam dinasihatkan supaya segera menjalani saringan kesihatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.
Dalam pada itu, orang ramai disarankan untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Untuk rekod, tibi atau batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’ dan merebak melalui udara, khususnya kepada kontak rapat.
Antara gejala tibi termasuk batuk berpanjangan, penurunan berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam serta batuk berdarah.
Penyakit ini bagaimanapun boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya sekiranya pesakit mematuhi rawatan yang berkesan dengan tempoh minimum selama enam bulan.
Baca juga:








