KKM Siasat Kematian Kanak-kanak Positif Influenza di Klang

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang disahkan positif Influenza meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 16 Oktober lalu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), siasatan awal mendapati mangsa mula mengalami demam, batuk dan cirit-birit pada 14 Oktober sebelum tidak sedarkan diri dua hari kemudian.

“Pesakit dibawa ke klinik swasta dalam keadaan tidak bernafas dan tiada tanda vital. Pasukan klinik telah melakukan bantuan kecemasan (CPR) sebelum dihantar ke HTAR,” kata JKNS dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, pesakit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

“Ujian saringan influenza yang dijalankan oleh klinik swasta atas permintaan keluarga menunjukkan keputusan positif Influenza,” menurut kenyataan itu.

JKNS turut memaklumkan, tiada bedah siasat dilakukan memandangkan tiada arahan dikeluarkan oleh pihak polis.

“Penentuan punca kematian memerlukan penilaian menyeluruh termasuk sejarah klinikal dan perbincangan di peringkat Jawatankuasa Mortaliti bagi mengesahkan diagnosa sebenar,” katanya.

JKNS menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi serius seperti pneumonia atau radang otak.

“Kanak-kanak, warga emas dan individu menghidap penyakit kronik lebih mudah mengalami komplikasi teruk akibat jangkitan influenza,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu, kadar jangkitan influenza di Selangor kini dilaporkan meningkat berbanding minggu sebelumnya, sejajar dengan trend nasional.

KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) turut memperkukuh langkah pemantauan dan kesiapsiagaan di sekolah serta fasiliti kesihatan bagi mengawal penularan penyakit.

Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut dan hanya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi KKM bagi mengelak kekeliruan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat