KKM Timbang Larangan Penuh Vape – Dr Dzulkefly

PARLIMEN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negara ini, sebagai langkah memperkukuh perlindungan kesihatan awam.

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media Parlimen, hari ini.

“KKM tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape.

“Ini selaras dengan matlamat kesihatan awam khususnya melindungi kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Keputusan akhir akan dibuat selepas proses penilaian komprehensif membabitkan aspek perundangan, kesan terhadap industri, implikasi terhadap hasil kerajaan dan penambahbaikan sistem pelesenan

Menurut Dzulkefly, hasil mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran bertarikh 22 Julai akan dibincang bersama empat kementerian utama iaitu MOF, KPDN, MITI dan AGC.

KKM menyambut baik tindakan enam kerajaan negeri Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape.

“Ini adalah langkah yang tepat dan selaras dengan aspirasi KKM dalam menjaga kesihatan awam.

“Namun begitu, ia belum menyeluruh kerana masih terdapat penjualan vape di premis lain seperti kedai serbaneka,” ujarnya.

KKM kini memberi tumpuan kepada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang merangkumi larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk vape, pendaftaran produk dan kawalan lokasi penjualan (termasuk larangan dalam talian dan di sekolah) serta larangan jual beli kepada individu bawah umur.

Untuk info, antara Oktober 2024 hingga Jun 2025 sebanyak 15,775 operasi dijalankan, di mana 78,424 notis kesalahan dikeluarkan dan 524 kertas siasatan dibuka.

KKM turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend penggunaan vape dalam kalangan remaja.

“Sejumlah 2,619 notis telah dikeluarkan kepada remaja yang merokok, manakala 27 notis kepada mereka yang membeli vape.

“Melalui program intervensi, seramai 36,870 pelajar sekolah menengah telah mendapat bantuan untuk berhenti merokok,” ujarnya.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, KKM akan melancarkan “Ops Selamat PaPa” pada 1 Ogos.

Kempen ini turut merangkumi “Selamatkan MaMa”, yang memberi tumpuan kepada isu perokok pasif.

Operasi berskala besar ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi di bawah pendekatan “whole-of-nation”, termasuk PDRM, Kastam, PBT, LKTN, KPDN dan NGO.

“Ini bukan sekadar isu perundangan, ia soal masa depan kesihatan rakyat Malaysia,” tegas Dzulkefly.

Anda Mungkin Berminat