PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tegas dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat penyalahgunaan vape yang dikaitkan dengan bahan terlarang termasuk campuran dadah psikoaktif.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari berkata, pihaknya kini sedang menilai semula keberkesanan peraturan sedia ada, khususnya Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024 (Akta 852) dalam menangani isu berkenaan.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saya sendiri bersama Dr Lokman Hakim Sulaiman. Berdasarkan bukti kes yang kami kumpul, kami akan nilai impak penguatkuasaan semasa dan tentukan sama ada ia masih relevan.
“Hasil perbincangan akan dibawa ke jawatankuasa untuk diteliti dan diperhalusi sekiranya wujud cadangan yang sesuai bagi menghadapi cabaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penubuhan jawatankuasa khas itu dibuat susulan beberapa kes yang tular membabitkan penggunaan vape yang didakwa mengandungi bahan psikoaktif seperti ‘magic mushroom’ termasuk kejadian melibatkan pelajar sekolah serta insiden kematian.
Dadah psikoaktif ini berupaya mengubah fungsi otak dan sistem saraf sehingga memberi kesan terhadap deria dan persepsi pengguna, sekali gus berpotensi menimbulkan risiko kesihatan serta keselamatan.