Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah untuk terus memantau trend kenaikan Covid-19 yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini, namun menjangkakan ia akan terus terkawal tanpa membebankan fasiliti kesihatan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata, KKM menjangkakan trend akan terus menaik di penghujung tahun, khususnya sewaktu musim perayaan Krismas, ekoran aktiviti kunjung-mengunjung rumah keluarga dan sanak saudara rancak dilakukan.
Tambah beliau, KKM menggalakkan rakyat untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada seperti memakai pelitup muka di tempat yang agak sesak, dan menjaga kebersihan diri.
“Kalau kita tengok beberapa minggu kebelakangan ini kes meningkat. Jumlah nanti saya akan beri, tetapi dalam keadaan sekarang kita lihat kes yang agak ringan, dan tidak membebankan fasiliti kesihatan.
“Tetapi kita menggalakkan rakyat dan penduduk ambil juga langkah seperti biasa, kalau ada gejala pergi jumpa doktor untuk dapatkan saringan.
“Dan kalau positif (Covid-19) mereka diminta asingkan diri beberapa hari mengikut SOP masih lima hari. Jika di tempat agak sesak kita galakkan, bukan mandatori, galakkan pakai pelitup muka. Lainnya jaga kesihatan diri… amalkan SOP biasa yang kita laksanakan,” katanya lagi lapor Sinar Harian.
Dr Zaliha berkata demikian selepas merasmikan Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani serta Pelepasan Mobilisasi Madani Afiat dan Saringan Kesihatan di Bukit Jalil, pada Ahad.
Minggu lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lepas.
Ia merupakan peningkatan 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.