Oleh: Kamilia Ali
KAPIT: Projek pembaikan cerun telah siap dilaksanakan susulan kejadian runtuhan di kawasan parkir berhadapan kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, Sarawak empat tahun lalu.
Menerusi satu kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini, projek tersebut merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menyerahkan satu lagi projek berteraskan Rakyat MADANI berkualiti.
“Projek pembaikan cerun ini merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan infrastruktur cerun berada pada tahap yang terbaik, selamat dan stabil terutamanya di lokasi yang terancam akibat daripada kejadian hakisan.
“Kerja-kerja awalan seperti kerja ukur dan penyiasatan serta kajian tanah telah dilaksanakan pada tahun 2022. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh pihak kontraktor yang dilantik pada 24 November 2023 dan telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos 2024 tanpa lanjutan masa (Extention of Time atau EOT),” jelasnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merakamkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberi kepercayaan serta kerjasama kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Sarawak dalam penyeliaan di tapak sehingga projek ini siap dengan jayanya.
“Pihak KKR menyeru kepada pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan di mana pihak JKR akan terus memantau proses-proses pasca penyerahan projek.
“Pantauan ini adalah supaya tiada perkara yang tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuatkuasa,” katanya.
Pada awal Mac 2020, runtuhan cerun telah berlaku di kawasan parkir berhadapan kuarters IPD Kapit yang berpunca daripada hujan lebat yang berterusan selama seminggu.
Hal itu menyebabkan berlakunya hakisan tanah dan seterusnya Unit Perancang Ekonomi pada 12 Ogos 2021 meluluskan permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan cerun tersebut.








