KKR optimum teknologi laksana projek infrastruktur RMK13

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang mampan.

Menurut kenyataan kementerian itu, pelaksanaan RMK13 akan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih progresif dan berteknologi tinggi selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Kami akan terus menggunakan pendekatan digital dan inovatif dalam setiap projek infrastruktur untuk menjadikannya lebih cekap, berkualiti dan kos efektif,” menurut kenyataan itu hari ini.

Antara teknologi yang digunakan termasuk Building Information Modelling (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mampu mempercepatkan proses pembinaan serta memantau prestasi secara menyeluruh.

KKR turut memperkukuh agenda pendigitalan melalui inisiatif seperti Program MyJalan, HNDP, NCIP dan RAMS yang akan memacu keberkesanan perancangan dan penyelenggaraan infrastruktur secara sistematik dan responsif.

“Penggunaan teknologi seperti BIM dan IBS bukan sahaja mempercepatkan pelaksanaan projek, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing serta mengawal kos,” jelas KKR.

Antara projek utama yang diberi tumpuan termasuk penaiktarafan jambatan Rantau Panjang–Sungai Golok, pembinaan jalan Kalabakan–Simanggaris, serta Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong ke Kuala Krai.

Projek Pan Borneo Sabah dan Sarawak, Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) serta Lebuhraya Trans Borneo juga akan diteruskan sebagai pemacu integrasi dan pembangunan Borneo.

Turut diberi perhatian ialah pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 kilometer menjelang 2030, selain penambahbaikan sistem keselamatan jalan raya seperti pemasangan lampu isyarat, sistem pemantauan had laju dan lampu jalan.

Kementerian itu juga menyatakan sokongan terhadap sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050 melalui penggunaan bahan binaan mesra alam serta pembinaan infrastruktur rendah karbon.

“RMK13 bukan sekadar membina jalan, jambatan dan bangunan, sebaliknya membina keyakinan dan harapan rakyat terhadap masa depan negara,” kata KKR.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat