KUCHING: Projek menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engkilili di Lubok Antu kini mencapai 61 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, projek bernilai RM22.5 juta itu melibatkan pembinaan blok akademik dengan enam bilik darjah, asrama berkapasiti 200 pelajar, bekalan elektrik, pusat pam, tangki air serta pelbagai kemudahan lain.
“Projek yang bermula pada 2 Mei 2023 ini mengikut jadual dan dijangka siap pada Februari 2026. Ia bertujuan menyediakan bangunan moden dengan prasarana kondusif bagi menyokong pembelajaran,” kata KKR.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, semalam meninjau tapak projek yang dilaksanakan secara Reka Bentuk dan Bina (D&B) oleh Welfield Services Sdn Bhd dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan sebagai agensi pelaksana.
KKR memaklumkan, SMK Engkilili merupakan sekolah penting di daerah Lubok Antu dengan 1,068 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, dibantu 89 guru dan 14 kakitangan.
“Semua pihak perlu kekal komited menyiapkan projek mengikut jadual kerana ia bukan sahaja bermanfaat kepada sekolah, malah selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan persekitaran pendidikan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya.








