Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kos sara hidup di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya dicatatkan sebagai tertinggi di negara ini berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis Indeks PAKW bagi tahun 2024 dengan Kuala Lumpur dijadikan rujukan pada 100 mata indeks menunjukkan wujud perbezaan ketara kos kehidupan wajar antara negeri.
“Bagi isi rumah seorang, Selangor merekodkan indeks tertinggi pada 92 mata, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Putrajaya (83.1), manakala nilai terendah dicatatkan di Kelantan dan Sarawak masing-masing 53.7 mata serta Kedah (56.6).
“Untuk isi rumah dua orang, Selangor kekal mencatat indeks tertinggi pada 91.4 mata, diikuti Putrajaya dan Pulau Pinang masing-masing 84.6, manakala Kelantan (58), Kedah (58.7) dan Perlis (58.8) merekodkan indeks terendah.
“Analisis bagi isi rumah tiga orang menunjukkan Selangor terus mendahului dengan 92.4 mata indeks, diikuti Putrajaya (84.8) dan Pulau Pinang (83.7). Indeks terendah pula direkodkan di Sabah (59.6), Perlis (60.6) dan Kedah (60.8),” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, Selangor sekali lagi mencatat indeks tertinggi bagi isi rumah empat orang pada 91.3 mata, diikuti Putrajaya (84.7) dan Melaka (83). Nilai terendah kekal di Sabah (59.4), Kedah (60.5) dan Perlis (60.9).
Mohd Uzir berkata, negeri yang mencatat indeks tinggi seperti Selangor menunjukkan kos sara hidup yang lebih tinggi, manakala negeri dengan indeks rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis mencerminkan kos kehidupan yang lebih rendah tetapi masih pada tahap kehidupan wajar.
DOSM turut mengeluarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai perbelanjaan minimum diperlukan oleh isi rumah bagi mengekalkan kehidupan wajar serta penyertaan bermakna dalam masyarakat.

Indeks PAKW merupakan indikator baharu yang mengukur keperluan perbelanjaan relatif kehidupan wajar di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri, dengan Kuala Lumpur ditetapkan sebagai nilai rujukan.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur. Sebagai contoh, jika perbelanjaan PAKW bagi isi rumah seorang di Kuala Lumpur berjumlah RM1,000, jumlah yang diperlukan di Kelantan hanyalah RM537.
Bagi isi rumah empat orang pula, Perlis merekodkan perbelanjaan wajar 39.1 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur. Ini bermakna perbelanjaan RM1,000 di Kuala Lumpur bersamaan RM609 di Perlis.
Di peringkat daerah pentadbiran, hanya daerah Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah.
Bagi isi rumah seorang, Petaling merekodkan indeks tertinggi pada 103.3 mata, diikuti Gombak (94.9) dan Johor Bahru (94.7). Indeks terendah pula dicatatkan di Pantu (27.8), Lingga (28.3) dan Sebuyau (29.1) di Sarawak.
Untuk isi rumah dua orang, Petaling terus mendahului dengan 104.8 mata indeks, diikuti Timur Laut, Pulau Pinang (94.9) dan Gombak (94.6), manakala indeks terendah direkodkan di Pantu (29.9), Lingga (31) dan Membakut, Sabah (31.2).
Analisis bagi isi rumah tiga dan empat orang menunjukkan trend yang sama, dengan Petaling kekal mencatat indeks tertinggi, manakala Membakut merekodkan nilai terendah. Bagi semua saiz isi rumah, Indeks PAKW di Pantu adalah kurang daripada satu pertiga berbanding Petaling, sekali gus menonjolkan jurang ketara kos sara hidup antara daerah pentadbiran di Malaysia.
Baca juga:








