KL Siap Hadapi Sidang Kemuncak ASEAN 2025

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif melakukan tinjauan terhadap kerja-kerja pengindahan dan penaiktarafan ibu negara dalam rangka persiapan sebagai tuan rumah utama Kepengerusian ASEAN 2025.

DBKL berkata, lawatan itu merangkumi 11 lokasi utama termasuk Jalan Parlimen, KL Sentral, Jalan Travers, Bulatan KTM, Dataran Merdeka, Kolam Biru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang serta kawasan sekitar Bukit Bintang.

Kata DBKL, sejumlah elemen penting diberikan perhatian antaranya pemasangan arca ASEAN termasuk pencahayaan berimpak tinggi, penaiktarafan landskap dan laluan basikal, kerja penurapan jalan dan enyelenggaraan infrastruktur awam.

“Sesi ini mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam memastikan Kuala Lumpur bersedia tampil sebagai sebuah bandar raya yang bersih, moden dan berdaya saing untuk menerima kehadiran delegasi antarabangsa sebagai tuan rumah Persidangan ASEAN 2025,” menurut kenyataan DBKL di Facebook.

Turut serta dalam tinjauan ialah Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Isma di Sakirin; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Mohamad Hamim serta beberapa pegawai kanan DBKL.

DBKL menegaskan bahawa persiapan Kuala Lumpur sebagai pusat Kepengerusian ASEAN 2025 merupakan antara keutamaan utama tahun ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Mei diikuti Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog pada penghujung Oktober.

Menariknya, pada 27 Mei, pemimpin ASEAN akan berkumpul bersama ketua negara dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi memperkukuh hubungan strategik antara Asia Tenggara dan Asia Barat.

Anda Mungkin Berminat