Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Berlakunya arus edaran di sepanjang laluan kabel menjadi punca utama insiden gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) pada 28 Ogos lalu.
Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), arus edaran itu berlaku di antara Pencawang 33kV yang membekalkan kuasa ke terminal dengan pencawang 11kV di KLIA T2 sehingga menyebabkan pemanasan pada penamatan kabel dan akhirnya mencetuskan insiden ‘flashover’.
“Hasil siasatan teknikal Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) turut mendapati faktor rintangan tanah yang tinggi menyumbang secara tidak langsung kerana ia menghalang pelepasan arus ke bumi secara berkesan, sekali gus meningkatkan tekanan haba pada kabel pelindung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
MOT menjelaskan, insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada pukul 2.15 petang ketika Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berada di KLIA T2 bagi menghadiri pelancaran kempen ‘Tap, Travel and Discover’.
Difahamkan, Loke sebelum ini menegaskan bahawa kejadian tersebut sama sekali tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara.
Ekoran insiden berkenaan, pasukan teknikal MAHB telah melaksanakan beberapa tindakan segera.
Antara langkahnya ialah,membaiki semua penamatan kabel dan memasang sarung pembatas voltan di lokasi pendawaian silang untuk mengurangkan kesan arus edaran.
Katanya, pasukan teknikal MAHB turut melakukan penilaian dan konfigurasi semula pemasangan pembumian dan menambah baik rejim penyelenggaraan dengan menggabungkan ujian separa nyahcas dan pemeriksaan termografi ke dalam pelan penyelenggaraan pencegahan kabel kuasa.
“Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan sistem, MAHB turut mengenal pasti tindakan penambahbaikan jangka panjang, termasuk mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan sistem Suis Pengalihan Automatik (ATS) bagi mempercepatkan bekalan kuasa sokongan dan mengoptimumkan penggunaan generator bagi melindungi lebih banyak perkhidmatan kritikal.
“MAHB turut memendekkan jadual Penyelenggaraan Pencegahan Terancang (PPM) untuk ujian beban genset di Gateway@klia2 dari tiga bulan kepada dua bulan sekali bagi meningkatkan tahap kebolehpercayaan serta pengesanan awal insiden flashover.
“MAHB juga melaksanakan kajian menyeluruh mengenai rintangan tanah di sepanjang laluan kabel, termasuk analisis bermusim dan keberkesanan sistem pembumian serta cross bonding, supaya risiko arus beredar dapat dikawal dengan lebih berkesan pada masa hadapan selain meningkatkan keberkesanan sistem pembumian,” katanya.
MAHB turut mengesahkan tiada operasi kritikal lapangan terbang yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Pada masa yang sama, MOT pula menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah susulan oleh MAHB bagi memastikan tahap keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem di KLIA sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi MOT akan komited memastikan perkhidmatan penerbangan negara sentiasa selamat, efisien, dan diyakini, demi mengekalkan keyakinan penumpang serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.








