KLIA Ekspres terganggu akibat ‘vandalisme’

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) terganggu selepas kabel perkhidmatan kereta api dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut ERL, susulan kejadian itu, perkhidmatan pengantara antara stesen Putrajaya dan Cyberjaya serta KL Sentral disediakan bermula jam 6 pagi dengan kekerapan 20 minit.

Perkhidmatan pengantara antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 serta Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula disediakan bermula jam 6.20 pagi dengan kekerapan 20 minit.

“Penumpang dinasihatkan supaya mencari pengangkutan alternatif dan merancang perjalanan mereka,” kata ERL.

ERL juga memaklumkan bahawa vandalisme kabel berlaku sekali lagi pada pagi ini, yang memberi kesan kepada perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

“Berikutan isu teknikal, semua perkhidmatan kereta api digantung sementara waktu. (Penumpang) diminta merujuk kepada kaunter tiket atau rujuk status perkhidmatan tren di (platform) X,” tambahnya.

Semalam, ERL mengesahkan kejadian vandalisme apabila kabel di KM48.5, antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 KLIA, dipotong pada jam 6.20 pagi.

Susulan itu, perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit digabungkan pada jam 6.58 pagi dari Terminal 2 KLIA dan jam 7 pagi dari KL Sentral.

Perkhidmatan tren disambung semula pada jam 10 pagi dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari Terminal 2 KLIA.

Penumpang dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya.

ERL juga memaklumkan bahawa pihaknya masih membaiki sistem isyarat yang terjejas akibat kejadian itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat