Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini menjalankan ujian sistem pengurusan akses kenderaan (VAMS) di Terminal 2 selepas berjaya melaksanakan sistem tersebut di Terminal 1 pada tahun lepas.
Menerusi kenyataan media Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), tempoh percubaan bagi Terminal 2 yang berakhir 30 Mac ini merangkumi kedua-dua kawasan susur jalan di balai berlepas dan balai ketibaan.
MAHB menjelaskan pihaknya memperkenalkan sistem kawalan masuk dan keluar kenderaan berperingkat melalui pintu pagar penghadang automatik, dan caj akan dikenakan ke atas kenderaan yang melebihi had masa yang dibenarkan sebaik sahaja tempoh percubaan tamat.

Difahamkan, VAMS memberi tempoh selama 10 minit bagi kenderaan yang menurunkan atau mengambil penumpang.
Untuk rekod, Terminal 2 mencatatkan kira-kira 16,000 pergerakan kenderaan setiap hari di kawasan susur jalannya, dan tempoh percubaan ini akan membantu menentukan pelarasan operasi sebelum penguatkuasaan bermula.
Menurut MAHB, sistem tersebut telah mencatatkan pengurangan kesesakan yang ketara di kawasan susur jalan sejak pelaksanaannya di Terminal 1.
Katanya, kurang daripada 1 peratus kenderaan dikesan menunggu melebihi tempoh yang dibenarkan, iaitu bersamaan kira-kira 194 daripada 43,000 kenderaan setiap hari.
Di bawah pelaksanaan VAMS di Terminal 1, tempoh selama 10 minit disediakan, dan selepas itu penalti bermula daripada RM10 sehingga maksimum RM100 akan dikenakan, bergantung kepada tempoh mereka menunggu. Pembayaran boleh dibuat melalui Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit.
Bagi pemandu yang memerlukan lebih masa, beberapa alternatif disediakan termasuk tempat letak kereta jangka pendek (percuma 15 minit), tempat letak kereta jangka panjang (percuma 30 minit), dan kawasan menunggu awam KLIA yang ditetapkan secara percuma.
Baca juga:








