Kod Etika Pemakaian Di Kaunter Kerajaan Kini Lebih Fleksibel

PUTRAJAYA: Dalam usaha memperkukuh prinsip ihsan dan memastikan akses perkhidmatan awam yang lebih inklusif, kerajaan kini melonggarkan panduan kod etika pemakaian bagi urusan di kaunter dan pejabat kerajaan khususnya dalam situasi kecemasan.

Langkah itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menerusi satu kenyataan media rasmi yang menekankan keperluan untuk menyeimbangkan kesopanan berpakaian dengan keperluan mendesak rakyat mendapatkan bantuan.

“Secara umumnya, panduan kod etika berpakaian ketika berurusan di kaunter atau pejabat Kerajaan digariskan dalam Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 yang menetapkan berpakaian sopan dan bersesuaian selaras dengan Rukun Negara ke lima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Namun, bagi kes-kes luar norma seperti laporan kemalangan, kebakaran atau bencana yang mengancam nyawa dan harta benda, pelanggan tidak akan dinafikan hak untuk mendapatkan perkhidmatan segera meskipun berpakaian tidak mengikut etika biasa.

“Kelonggaran etika berpakaian akan diberikan bagi kes kecemasan dan di luar norma biasa seperti mana perkara 3.2 Lampiran A PKPA 1/2025,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi urusan biasa, Ketua Jabatan diberi budi bicara untuk menentukan kesesuaian pakaian pelanggan berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa.

“Perkhidmatan awam akan terus menambah baik perihal perhubungan pelanggan bagi memastikan akses dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Ihsan dalam nilai MADANI,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat