Kolaborasi Agung Parti Melayu-Islam: UMNO Perlu Berhati-Hati

PETALING JAYA: Cadangan UMNO untuk membentuk kolaborasi agung parti Melayu-Islam perlu diperjelaskan dengan penuh berhati-hati agar tidak menimbulkan salah tafsir dalam kalangan rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah itu tidak boleh dilihat sebagai usaha kembali kepada politik lama yang sedang ditinggalkan.

“Saya faham kebimbangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang sokongan Melayu dan keperluan memastikan kepentingan umat terus terpelihara.

“Itu adalah kebimbangan yang sah. Tetapi dalam suasana politik hari ini, rakyat Melayu bukan menuntut penyatuan slogan, mereka menuntut penyelesaian nyata tentang kos sara hidup, peluang ekonomi, integriti kepimpinan dan masa depan generasi baru Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mahfuz menekankan bahawa sebagai rakan dalam kerajaan, pemulihan sokongan Melayu terhadap UMNO dan Kerajaan Perpaduan akan lebih meyakinkan sekiranya digerakkan melalui pembaharuan dasar, prestasi pentadbiran yang baik dan kejujuran politik.

Beliau memberi amaran bahawa pembentukan blok berasaskan identiti boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakan kerajaan serta masyarakat majmuk.

“Kerajaan Perpaduan ini wujud kerana kita sama-sama sedar bahawa Malaysia tidak boleh terus dibina atas politik pengelompokan.

“Kekuatan kita hari ini ialah kesediaan untuk memerintah bersama, walaupun berbeza latar dan sejarah politik,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mahfuz menyatakan keyakinan bahawa sebarang inisiatif politik, walaupun dengan niat yang baik, tidak seharusnya mengaburkan komitmen bersama terhadap agenda perpaduan nasional yang sedang dibina.

Beliau berharap sebarang bentuk kerjasama politik pada masa hadapan diletakkan di atas landasan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan serta tidak dilihat sebagai isyarat politik sempit yang boleh melemahkan keyakinan awam.

Anda Mungkin Berminat