KOTA BHARU: Kolam Renang Sultan Yahya Petra yang dibina sejak tahun 1972 bakal menjalani kerja baik pulih menyeluruh selepas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turun padang meninjau keadaannya secara langsung.
Fasiliti bersejarah itu merupakan satu-satunya kolam renang milik kerajaan di Kelantan dan menjadi lokasi utama pelaksanaan program KLAS Renang percuma anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), khususnya untuk golongan B40 dan kanak-kanak di kawasan berisiko tinggi.
“Fasiliti ini yang dibina sejak 1972, jelas memerlukan naiktaraf segera bagi memastikan keselamatan pengguna terutamanya anak-anak kecil yang menyertai program KLAS Renang,” kata Hannah dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, komitmen KBS adalah untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku pemilik fasiliti dalam usaha baik pulih tersebut.
“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya sentiasa komited untuk bekerjasama dengan KPM sebagai pemilik fasiliti ini dalam usaha baik pulih kolam renang Sultan Yahya Petra,” katanya.
Hannah turut menekankan bahawa kolam renang bukan sekadar infrastruktur sukan tetapi berperanan penting dalam menyelamatkan nyawa.
“Ini kerana kolam renang bukan sekadar infrastruktur sukan tetapi penyelamat nyawa,” katanya.
Menurut data semasa, daerah seperti Bachok, Kota Bharu dan Pasir Mas mencatatkan kadar kematian kanak-kanak akibat lemas yang tinggi.
Justeru, katanya, program KLAS Renang percuma yang dilaksanakan di kawasan tersebut hadir sebagai langkah intervensi penting.
“KLAS Renang percuma di Kota Bharu dan Pasir Mas bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hadir sebagai salah satu alternatif untuk mengatasi isu ini,” tambah beliau.
Lawatan Hannah turut disambut oleh jurulatih dan penggiat sukan komuniti yang giat menggerakkan program celik air di Kelantan.
Antara kerosakan yang dikenal pasti termasuk lantai kolam yang retak serta kemudahan tandas yang uzur.
KBS memberi jaminan akan membantu sedaya mungkin agar kolam renang ini dapat digunakan dengan selamat dan berkesan oleh rakyat Kelantan, selaras dengan misi memperkasa kemahiran asas renang sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat dan keselamatan diri.