PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada seluruh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2025.
Dalam kenyataannya, Ahmad Zahid menyifatkan JBPM sebagai barisan hadapan penyelamatan negara yang sentiasa bersedia mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan orang lain tanpa mengira latar belakang atau siapa yang berada dalam bahaya.
“Setiap kali siren kecemasan berbunyi, para anggota bomba tidak pernah bertanya siapa yang harus diselamatkan.
“Mereka terus mara, berdepan api, banjir, runtuhan dan pelbagai tragedi demi satu tujuan iaitu menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dengan tema sambutan tahun ini, Bomba Tonggak Penyelamatan Negara, Ahmad Zahid menekankan bahawa semangat keberanian dan komitmen tinggi warga bomba merupakan benteng utama kepada keselamatan awam dan ketenteraman negara.
“Tanpa mereka, keselamatan awam dan ketenteraman negara tidak akan terpelihara. Kita mengiktiraf komitmen tinggi dan disiplin luar biasa yang menjadi kekuatan JBPM selama ini,” ujarnya lagi.
Beliau turut mendoakan agar seluruh anggota bomba sentiasa diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang penuh cabaran dan pengorbanan.
“Terima kasih atas setiap pengorbanan, keberanian dan semangat waja yang ditunjukkan saban waktu. Semoga seluruh warga bomba terus diberi kekuatan dan perlindungan dalam menjalankan tugas yang mulia ini. Insya-Allah,” katanya.
Baca juga: