PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal teguh menjunjung prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap dasar dan tindakan yang digubal, demi memastikan hasil negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
Berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau, Anwar berkata, pengurusan sumber negara mesti dilakukan secara berhemah agar setiap inisiatif benar-benar memberi kesan langsung kepada rakyat tanpa pembaziran atau penyelewengan.
“Kerajaan beriltizam untuk memastikan setiap sen dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan sampai kepada mereka yang berhak.
“Ini adalah asas kepada Malaysia MADANI,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pertahanan negara atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan tanah air.
Anwar turut memuji kejayaan Kerajaan Negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh khususnya dalam memacu kemajuan negeri dan menjayakan sambutan ‘World Tourism Day’ yang menyerlahkan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian pelbagai bantuan dan inisiatif rakyat termasuk Inisiatif Perumahan Veteran ATM, Dana Persatuan Veteran, Bantuan Sejahtera MADANI serta biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menutup acara dengan sentuhan kemesraan, Anwar meluangkan masa menikmati hidangan dalam Kenduri Rakyat bersama lebih 2,000 pengunjung.








