TELUK KUMBAR: Satu majlis perasmian Kompleks MADANI Teluk Kumbar, iaitu sebuah projek bernilai RM25 juta yang menjadi lambang pendekatan baharu Kerajaan MADANI dalam menjelmakan pembangunan yang inklusif dan berdampak segera kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu telah merasmikan kompleks dua tingkat itu.
Ia bakal menempatkan ruang niaga, dewan komuniti dan pelbagai kemudahan asas yang dirancang khusus untuk menyantuni peniaga kecil serta masyarakat setempat yang majoritinya memilih untuk makan di warung dan gerai sederhana, bukan di restoran mewah.
“Ini wajah sebenar pembangunan yakni membela yang ramai, tidak hanya segelintir yang kaya,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencakar langit dan mercu tanda di ibu kota, sebaliknya perlu menyentuh kehidupan sebenar rakyat terbanyak.
“Realitinya majoriti rakyat tidak makan di restoran-restoran mewah.
“Sebaliknya mereka memilih untuk makan di warung-warung kecil dan sederhana,” katanya.
Sebagai tanda komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan rakyat di pinggir kota, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta yang akan dibelanjakan tahun ini untuk memperkukuh kemudahan asas di kawasan sekitar Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
“Saya memilih untuk hadir dan merasmikan projek ini kerana impaknya terus kepada rakyat,” katanya.
Dalam konteks geopolitik yang semakin tegang, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia kekal stabil dan diyakini dunia dengan pelaburan besar dari syarikat gergasi seperti Infineon, Google dan Nvidia.
Namun, beliau tetap mengutamakan projek kecil yang membawa manfaat besar kepada rakyat.
“Bagi saya projek kecil yang membawa manfaat besar dan segera adalah keutamaan saya,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh usaha berterusan kerajaan dalam menaikkan gaji penjawat awam, memperluas program TVET dan meningkatkan gaji minimum.
“Apakah cukup dan memadai? Masih belum dan kita mengakuinya.
“Namun, apa yang pasti kita akan terus bekerja dan merangkul hasil tidak kira berapa kuat maki dan hamun yang dihamburkan ke arah kita,” katanya lagi.