SEMPORNA: Kerajaan terus memperkukuh kedaulatan negara dengan pelaburan sebanyak RM65.28 juta bagi pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, yang bakal menjadi benteng hadapan kawalan maritim di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESS ZONE).
Majlis Penyerahan Separa Projek Siap yang berlangsung pada Ahad bukan sekadar simbol kemajuan fizikal tetapi juga manifestasi komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara.
Penyerahan rasmi dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pemilik projek, disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Turut hadir menyaksikan detik bersejarah itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Dalam ucapannya, Saifuddin berkata, pembinaan kompleks itu adalah bukti jelas bahawa Sabah tidak pernah dipinggirkan.
“Pembinaan kompleks ini membuktikan bahawa Sabah tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya terus menjadi keutamaan Kerajaan dalam aspek keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan MADANI melalui KDN sentiasa memberikan perhatian terhadap keselamatan negeri itu.
Terletak di Batu 1, Jalan Bubul, Tampi-Tampi, Semporna, kompleks itu dibina di lokasi strategik berhampiran sempadan perairan Filipina dan Indonesia.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan utama termasuk bangunan pentadbiran, bangunan sokongan dan logistik, jeti operasi dan marina untuk kapal serta bot Maritim Malaysia, helipad bagi operasi udara, padang kawad, gelanggang sukan dan kuarters perumahan anggota.

“Apabila siap sepenuhnya, kompleks ini akan menjadi pusat operasi dan rondaan utama Zon Maritim Semporna, selain berfungsi sebagai hab koordinasi keselamatan dan latihan bersama ESSCOM, PDRM dan TLDM,” jelas beliau.
Kemudahan moden ini diyakini mampu memperkukuh keselamatan perairan Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur yang sering berdepan ancaman penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
“Kompleks ini akan membolehkan pasukan Maritim Malaysia bertindak lebih pantas dan efisien terhadap sebarang insiden keselamatan maritim, di samping meningkatkan kehadiran aset serta moral anggota di lapangan,” ujarnya.








