PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan beberapa perbualan telefon dengan pemimpin antarabangsa bagi membincangkan hubungan dua hala serta perkembangan semasa termasuk konflik di Timur Tengah.
Dalam perbualan bersama rakan sejawat dari Jepun, Sanae Takaichi, Anwar berkata kedua-dua pihak menghargai hubungan erat Malaysia-Jepun yang terjalin sejak 1957 dan kini diperkukuh melalui Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).
Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh kemajuan kerjasama dalam bidang utama seperti keselamatan, ekonomi serta sains, teknologi dan inovasi.
Pada masa sama, Malaysia menegaskan pendirian berhubung situasi di Timur Tengah dengan menekankan keperluan gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian konflik melalui diplomasi selaras undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, dalam perbualan dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global.
Anwar menegaskan Malaysia mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran dan menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Beliau turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan melalui saluran diplomasi.

Perbincangan itu juga menyentuh kesan konflik terhadap sektor tenaga New Zealand termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan ekonomi domestik. Malaysia menyambut baik langkah negara itu dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan isu serantau termasuk konflik Iran–Israel.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan lawatan rasmi Anwar ke Jakarta sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Menurut Anwar, Malaysia akan terus menyokong usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan konflik Iran–Israel, selain memastikan perlindungan terhadap orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
Baca juga:







