ISLAMABAD: India dan Pakistan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas beberapa hari pertempuran sengit yang mengakibatkan puluhan kematian dan kemusnahan ketenteraan di kedua-dua belah pihak.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan persetujuan itu pada Sabtu melalui kenyataan di media sosial, memuji kedua-dua negara jiran Asia Selatan kerana memilih jalan damai.
Pengumuman itu disahkan sejurus selepas itu oleh Timbalan Perdana Menteri Pakistan, Ishaq Dar, yang menyatakan bahawa Pakistan kekal komited terhadap keamanan serantau tanpa mengorbankan kedaulatan negara.
“Pakistan dan India telah bersetuju untuk menghentikan semua tindakan ketenteraan di darat, laut dan udara mulai jam 5 petang waktu India,” kata Setiausaha Luar India, Vikram Misri, dalam sidang media memetik laporan Pakistan Today.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah memberi arahan kepada angkatan tentera masing-masing untuk melaksanakan perjanjian tersebut, dan satu lagi perbincangan antara pegawai kanan tentera dijadualkan pada 12 Mei.
Walaupun gencatan senjata telah diumumkan, letupan dan tembakan dilaporkan berlaku beberapa jam kemudian di kawasan bergolak di Kashmir, membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan gencatan tersebut.
Pertempuran selama empat hari sebelum ini disifatkan sebagai yang terburuk dalam hampir tiga dekad dengan jumlah kematian orang awam meningkat kepada 66.
Serangan balas Pakistan melalui Operasi “Bunyan-ul-Marsoos” menyasarkan lebih 26 lokasi tentera India dan menyebabkan kerosakan ketara.
Ketegangan tercetus selepas serangan pada 22 April di Pahalgam, wilayah Jammu dan Kashmir yang diduduki India yang mengorbankan 26 nyawa.
India menuduh elemen berpangkalan di Pakistan sebagai dalang serangan itu, namun Islamabad menafikan sekeras-kerasnya.
Di sebalik ketegangan memuncak dan kebimbangan penggunaan senjata nuklear, usaha diplomatik antarabangsa yang dipimpin oleh AS dan G7 berjaya menurunkan suhu konflik.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung secara langsung dengan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Shehbaz Sharif.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas peranannya dalam memudahkan persetujuan itu.
“Kami menghargai usaha Amerika Syarikat dan percaya ini adalah permulaan baharu ke arah keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Angkatan tentera India pula menegaskan bahawa mereka bersedia untuk tidak meningkatkan ketegangan dengan syarat Pakistan menunjukkan komitmen yang sama.
Walaupun gencatan senjata telah dimeterai, pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa ketegangan masih boleh memuncak semula sekiranya tiada pemantauan telus dan dialog susulan antara kedua-dua negara yang bersenjata nuklear itu.