Konglomerat China sedia labur RM820 juta R&D di Malaysia

TIANJIN: Dua konglomerat China menyatakan komitmen pelaburan dan kesediaan eratkan hubungan bersama Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata pertemuan itu dalam sela program di bandar tersebut.

“Saya sempat bertemu Rianlon Corporation dan China Communications Construction Company Limited (CCCC).

“Rianlon Corporation, antara peneraju global dalam bahan tambahan anti-penuaan untuk polimer dan kosmetik, telah menyatakan komitmen pelaburan berjumlah RM820 juta bagi membangunkan kilang serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Johor, yang bakal mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat.

“Bersama CCCC pula, saya meneliti perkembangan projek ECRL yang kini menjadi lambang persahabatan Malaysia–China di bawah Belt and Road Initiative (BRI). 

“Insya-Allah, ECRL bakal merapatkan jurang pembangunan wilayah dan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Anwar turut berkata Kerajaan MADANI akan terus berusaha merancakkan pelaburan, memberdaya sektor berteknologi tinggi dan memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–China yang berakar pada sejarah panjang, sekali gus membuka lembaran masa depan yang lebih gemilang untuk rakyat.

Anda Mungkin Berminat