Kongres PKR, Pentas Jawab Harapan Rakyat – Adam Adli

JOHOR BAHRU: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim menyeru perwakilan untuk menjadikan Kongres Nasional PKR sebagai medan memperkukuh solidariti dan menjawab harapan rakyat, bukan sekadar memenuhi formaliti parti.

Menekankan kepentingan kongres yang berlangsung serentak dengan pemilihan parti, Adam menyifatkannya sebagai platform penting untuk menunjukkan kesungguhan serta komitmen PKR kepada rakyat.

“Pertemuan ini bukan sekadar memenuhi kehendak perlembagaan parti.

“Ia adalah simbol keyakinan kita terhadap perjuangan PKR dan satu isyarat solidariti kepada masyarakat yang terus memerhati,” katanya dalam majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita di Berjaya Waterfront Hotel, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan perwakilan bahawa setiap ucapan, perbahasan dan tindakan sepanjang kongres akan menjadi penilaian rakyat terhadap hala tuju serta kepimpinan masa depan PKR terutama dalam memperjuangkan kepentingan anak muda dan wanita.

“Mereka (rakyat) mahu tahu, adakah perjuangan kita masih utuh? Adakah PKR berubah selepas mengecapi kuasa?

“Adakah kita mengisi harapan rakyat, khususnya anak muda dan wanita yang menjadi tulang belakang perubahan selama ini?” soalnya.

Meskipun tidak lagi memegang jawatan Ketua AMK bagi penggal ini, Adam berharap kepimpinan baharu terus memperkukuhkan organisasi serta memastikan AMK kekal inklusif, progresif dan relevan.

“Saya dan Kamil Munim ambil alih AMK dengan hanya sekitar 50 cabang. Hari ini kita sudah capai lebih 200 cabang. Masih banyak yang belum sempurna, tetapi asas telah kita bina bersama.

“Parti ini bukan milik satu kelompok. Ia kaya dengan pelbagai ideologi dan pengalaman.

“Pemimpin yang baik ialah mereka yang mampu mengurus perbezaan dengan bijak, bukan menolaknya,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf kerja keras anggota muda dan wanita dengan menegaskan bahawa mereka adalah aset penting bagi masa depan parti.

Anda Mungkin Berminat