Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang memandu laju di Lebuhraya Pan Borneo arah Saratok-Betong, Sarawak telah dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan selepas tular video pemanduannya yang berbahaya di media sosial.
Tindakan sama tersebut diberi selepas suspek menyerahkan diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching (BSPTD), Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Komisioner Datuk Mancha Ata berkata, sebelum ini pihak polis menerima aduan berkaitan video yang tular tersebut dan mengarahkan BSPTD mengesan pemandu berkenaan pada Isnin.
“Hasil siasatan mendapati pemandu tersebut mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan dan menerima beberapa saman atas pelbagai kesalahan oleh pihak polis.
“Tindakan saman tersebut termasuk kesalahan memandu laju dibawah Seksyen 079(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman atas kesalahan lain seperti tiada lampu brek ketiga, ubah suai struktur peralatan, nombor plat fancy dan ubah suai ekzos,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mancha turut berkata kenderaan pacuan empat roda juga telah ditahan untuk tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menyeru orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang jalan raya dan pihak PDRM Sarawak tidak akan berkompromi sekiranya masih ada yang gagal mematuhinya.
Baca juga: