Konsep MADANI asas bangsa bertamadun, seimbang

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan nilai MADANI sebagai asas untuk membina negara yang bertamadun dan seimbang.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut semasa menghadiri Kenduri Rakyat dan Ziarah Mahabbah di Pusat Pengajian At-Taiyibin, Tanah Hitam.

Anwar menjelaskan bahawa konsep MADANI yang diperkenalkan adalah bertunjangkan kepada nilai agama dan tamadun dengan mengangkat prinsip keadilan, akhlak dan tata kelola yang baik dalam setiap aspek pentadbiran.

“Dalam dua tahun ini, saya tak kata negara ini makmur, cemerlang atau berjaya sepenuhnya daripada segi kecerdasan buatan (AI) dan digital.

“Tidak, saya sebut MADANI. Akar katanya adalah ‘deen’, majmuknya ‘adyan’ dan kotanya Madinah. Dalam Madinah itu, dia angkat tamadun,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan negara perlu seimbang, merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi.

“Mana ada negara yang tak mahu pembangunan tetapi pembangunan itu perlu seimbang duniawi, ukhrawi, iman, ilmu, akal, kalbu, roh dan jasad.

“Itu keseimbangan yang hanya dapat dipupuk melalui kepercayaan orang yang beragama,” katanya.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa nilai MADANI perlu diterapkan di setiap lapisan masyarakat, termasuk dalam jabatan kerajaan dan institusi pendidikan bagi mengangkat martabat umat secara keseluruhan.

“Jika nilai-nilai ini diamalkan, barulah kita boleh membina negara dan masyarakat yang benar-benar bertamadun,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat