Oleh: Aliyaa Azmi
SELEPAS lebih sedekad dikenali dengan lagu-lagu bernada pilu dan patah hati, penyanyi bersuara serak Indonesia Cakra Khan kini mahu keluar daripada zon selesanya.
Menerusi konsert solo Divine yang bakal berlangsung pada 2 Ogos ini di Plenary Hall, Kuala Lumpur, Cakra berjanji menyajikan sisi berbeza, termasuk muzik yang lebih pelbagai dan ekspresi seni yang lebih jujur.
“Kalau kita dengar lagu-lagu saya sebelum ini, kebanyakannya ballad, pop dan tentang kesedihan. Tapi kali ini, saya mahu tampil dengan sesuatu yang bahagia juga. Tak semuanya tentang putus cinta,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Cakra, album baharunya juga dinamakan Divine, sempena perjalanan panjang selama 11 tahun untuk melengkapkan sebuah album penuh selepas album sulungnya pada 2013.

“Saya diberi kebebasan untuk masukkan semua genre yang saya suka. Ada pop blues, ada lagu Inggeris. Saya rakam lagu ini di Bali, di Bandung,semua tempat berbeza, ikut ilham masa tu datang,” katanya.
Menariknya, konsert Divine di Kuala Lumpur turut menyaksikan gabungan vokal Cakra dengan penyanyi Malaysia pilihan peribadinya Marsha Milan, Trio XL dan Faizal Lubis. Tidak lupa juga rakan seperjuangannya dari negara kelahirannya iaitu Titi DJ dan Ade Govindo.
“Saya tengok kerjaya saya, saya belum pernah duet dengan mereka. Jadi saya menyanyi dengan mereka kerana masing-masing ada kelainan tersendiri dan suara mereka diakui luar biasa,” Tambahnya.
Konsert Divine akan bermula pada pukul 8.30 malam, dan tiket boleh dibeli menerusi laman www.myticket.asia. Dua kategori tiket telah pun habis dijual iaitu Silver dan Bronze,manakala selebihnya masih tersedia termasuk pakej eksklusif Meet & Greet berharga RM1,295.
Baca juga: