Konsert DATO’ M N46IR CIPTA 3 Janji Sentuhan Luar Biasa

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Konsert terkini oleh ikon muzik tanah air, Datuk Dr M Nasir, menjanjikan pengalaman luar jangka buat para peminat apabila elemen kejutan disusun rapi untuk malam penuh magis itu.

Dengan tajuk DATO’ M N46IR CIPTA 3, persembahan kali ini bakal memukau bukan sahaja dengan kehadiran penyanyi undangan misteri tetapi juga gubahan muzik yang berani meneroka gabungan retro dan rock yang memberi satu kelainan yang belum pernah ditampilkan sebelum ini.

“Lagu rock memang dah rock tapi lagu-lagu lain yang dalam bukan rock, saya ubah suai gubahannya, bunyinya agak keras tapi tetap disematkan dengan gelombang tak sepenuhnya rock dari awal sampai habis,” kata M Nasir kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Dia berkata, sentuhan eksklusif ini bukan sekadar variasi muzik semata-mata tetapi suatu usaha untuk menyatukan jiwa pendengar dalam semangat yang lebih besar.

“Bawa semangat, semangat yang bersatu dengan penuh nilai kemanusiaan dalam muzik,” ujarnya.

Seruan penuh makna itu diungkapkan kepada ribuan peminat yang dijangka membanjiri Axiata Arena, Kuala Lumpur pada malam 27 September 2025.

Konsert yang akan bermula pada pukul 8 malam itu dijangka menjadi antara acara paling mengujakan tahun ini apabila menggabungkan nostalgia, inovasi dan semangat perpaduan dalam alunan muzik legenda.

Anda Mungkin Berminat