Konsert Elite Warriors Tambah Dua Kategori Tiket Baharu

Oleh: Aliyaa Azmi

AURA nostalgia dan semangat peminat muzik 90-an bakal meledak di Dewan Plenari KLCC apabila konsert Elite Warriors tampil dengan kejutan baharu iaitu dua kategori tiket tambahan yang lebih istimewa dan mampu milik, khas untuk meraikan lebih ramai peminat setia.

Penganjur mengumumkan dua kategori baharu di Level 3 iaitu Trauma (RM98) dan Bila (RM88), diinspirasikan daripada lagu-lagu ikonik kumpulan Elite.

Tiket ini direka khusus buat peminat yang ingin menyaksikan persembahan sambil ber-gig bersama lima legenda wanita tanah air iaitu Linda Rafar, Azza, Abby Abadi, Shasha Saidin dan Watie Sadali.

Lebih mengujakan, kumpulan Alpha disahkan sebagai artis jemputan terbaharu yang bakal memeriahkan pentas Elite Warriors, menambah lagi warna dan tenaga kepada malam yang dijangka penuh emosi dan kenangan.

Tiket untuk kategori Trauma dan Bila akan mula dijual di laman sesawang rasmi Ticket2U bermula Isnin, 25 Ogos 2025 pukul 3.00 petang.

Dengan penambahan kategori tiket dan kemunculan artis jemputan baharu, konsert Elite Warriors bukan sekadar persembahan muzik, ia adalah perayaan memori, semangat wanita dan “manisnya senyuman” yang telah menemani generasi peminat sejak 1996.

Anda Mungkin Berminat