PETALING JAYA: Malam yang penuh nostalgia dan keajaiban muzik! Konsert GenKRU ‘Day3’ bukan sahaja menggamit kenangan peminat tempatan tetapi turut menarik kehadiran peminat dari luar negara seperti Arab Saudi, Singapura, Brunei, Filipina, London dan Los Angeles.
Menurut salah seorang anggota KRU, Edry Abdul Halim, mereka pada asalnya hanya merancang satu malam konsert sahaja.
Namun, sambutan luar biasa peminat membuatkan mereka mempertimbangkan untuk menambah malam persembahan.
“Kita nak buat satu malam je sebenarnya. Tapi bila tengok peminat masih berebut tiket, ada yang tak dapat, rasa kesian pula.
“Ramai yang nak ulang balik zaman kegemilangan mereka bersama KRU. Jadi kami bantu mereka imbas kembali memori indah itu,” katanya.
Datuk Norman Abdul Halim turut berkongsi, keputusan untuk menambah hari konsert bukan hanya dorongan dalaman tetapi permintaan tinggi daripada peminat yang begitu bersemangat.
“Kita tak pernah terfikir nak buat lebih dari satu malam tapi bila tengok sambutan hebat dan semangat peminat yang sanggup ‘berperang’ dapatkan tiket, kami rasa bertanggungjawab untuk berikan mereka peluang itu,” ujar Norman.
Suasana di luar konsert turut mengimbau nostalgia dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran gambar lama dan momen bersejarah awal pembabitan KRU dalam industri muzik.
Sementara itu, Penerbit dan pengarah konsert, yang juga mewakili warga Icon Entertainment, Iman Tang meluahkan rasa bangga melihat KRU berjaya menganjurkan konsert berskala besar, setanding artis K-Pop dan Barat.
“Kalau artis luar boleh buat konsert mega, kenapa tidak artis tempatan? KRU membuktikan mereka mampu menggegarkan pentas dengan persembahan mantap, tarian bertenaga dan gimik kejutan untuk para peminat,” katanya.
Sementara itu, Datuk Yusry Abdul Halim berasa terharu dengan sambutan peminat yang melebihi 10,000 orang.
“Kami tak sangka sambutan sebesar ini. Konsert kami sebelum ini di Seni Budaya pun tiga malam tapi lebih kecil skalanya.
“Kali ini pentas lebih besar, sistem bunyi lebih hebat dan peminat lebih ramai,” jelasnya.
Tambah Edry, statistik menunjukkan lebih 200,000 orang masih melayari laman web untuk mendapatkan tiket sehingga menyebabkan mereka mengambil keputusan menambah malam keempat konsert.
“Kami tak mahu hampakan peminat. Apabila lihat jumlah yang masih cuba mendapatkan tiket, kami bersetuju untuk tambah satu malam lagi,” katanya.
Iman mengesahkan, 100,000 peminat ‘crash’ laman web hanya untuk mendapatkan tiket.
“Kami buat ‘Day 4’ berdasarkan angka. Angka tidak pernah menipu lebih 100,000 peminat ‘crash’ laman web kami hanya untuk berjuang mendapatkan tiket,” ujarnya.
Malam penuh nostalgia itu menyaksikan trio adik-beradik KRU, iaitu Datuk Norman, 53, Datuk Yusry, 52 dan Edry Abdul Halim, 49, menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil dengan barisan lagu hits mereka seperti ‘Mengerti – The Way We Jam’, ‘Fanatik 2’, ‘Ohh! La La!’, ‘Di Dalam Dilema’, ‘One More Time’, ‘Babe’, ‘Jangan Lafazkan’, ‘Terhangat Di Pasaran’, ‘Malam Kita’, ‘Bidadari Hingga Ke Jannah’, ‘Voodoo’, ‘Di Pintu Syurga’, ‘Awas’, ‘Untukmu’, dan ‘Apa Saja’.
Kehebatan konsert turut diperkuatkan dengan kemunculan pelakon dan pelawak terkenal, Abon yang menyamar sebagai Adam AF, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), menambahkan lagi warna dalam persembahan malam itu.

Konsert GenKRU juga tidak lengkap tanpa penyanyi kumpulan legenda wanita negara seperti Azza, Linda Rafar, Abby Abadi, Watie dan Shasha yang tampil berpakaian merah menyala sambil menyanyikan bait-bait lagu ‘Awas’ versi mereka.
Konsert bakal menemui kemuncaknya pada malam terakhir, hari ini, dengan kejutan besar daripada seorang artis misteri, kata KRU dan Iman Tang sebelum mengakhiri Sidang Media Khas KRU, malam tadi.