Oleh: Aliyaa Azmi
LEBIH tiga dekad berlalu, namun KRU membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila mereka kembali dengan tenaga luar biasa pada malam kedua Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.
Berlangsung hampir tiga jam, konsert itu membawa lebih 10,000 peminat daripada pelbagai generasi mengimbau kembali era kegemilangan KRU sejak 1990-an, menerusi lebih 30 lagu hit yang dipersembahkan Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim.
Dengan aksi penuh semangat, trio adik-beradik ini memukau ribuan peminat yang hadir.
Dari hentakan pertama ‘Fanatik’ hinggalah ke klimaks epik dengan ‘Awas’, mereka tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda kepenatan.
Malam itu bukan sekadar konsert tapi ia adalah perayaan nostalgia, di mana peminat tidak hanya menyanyi bersama tetapi turut larut dalam euforia, menari dan bersorak tanpa henti.
“Dari lagu pembukaan hingga akhir, semuanya padu. Memang berbaloi datang,” kata Mohd Azri, 41, yang merasakan dirinya seolah-olah kembali ke era kegemilangan KRU.
Sementara itu, Nurul Fatin, 34, berkongsi keterujaannya, “Saya memang membesar dengan lagu KRU. Apabila dapat lihat mereka secara depan mata, rasa sangat puas hati. Energi mereka luar biasa,” katanya.
Bukan sahaja menghidupkan kenangan, KRU juga membuktikan bahawa muzik mereka masih relevan dan mampu mencetuskan keterujaan generasi kini.
Konsert GenKRU akan diteruskan pada malam ketiga, 10 Mei depan dengan lebih banyak kejutan dan aksi bertenaga yang tidak boleh dilepaskan!