Konsert ‘Slam X Exists: Our Journey’ Gegar Mega Star: Dua Generasi Bakal Bersatu

Oleh: Aliyaa Azmi

KUMPULAN Exists meluahkan rasa teruja dengan peluang istimewa untuk berkongsi pentas bersama kumpulan seangkatan mereka, Slam, dalam konsert nostalgia “Slam X Exists – Our Journey” yang bakal berlangsung pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini dijanjikan sebagai lebih daripada sekadar hiburan.

Ia menjadi simbol perjalanan dua kumpulan yang pernah mencorakkan era muzik 90-an, terus relevan dan mencetuskan kegembiraan hingga ke generasi baharu.

Menurut Musa Radhi, pemain bass Exists, konsert ini merupakan platform unik untuk menyampaikan mesej mendalam yang selama ini tersisip dalam lagu-lagu popular mereka kepada peminat setia.

“Apa yang kita buat selama ni akhirnya tercapai… Kita nak hasilkan lagu yang evergreen.

“Sekarang, orang dulu yang minat lagu-lagu kita dah jadi ibu bapa dan anak-anak mereka pula yang ikut suka.

“Objektif kita beberapa puluh tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan,” ujar Musa.

Lebih menarik, konsert ini menghimpunkan dua generasi peminat, di mana mereka yang membesar dengan lagu cinta indah daripada Slam dan Exists serta generasi baharu yang mengenali karya mereka melalui platform digital.

Ajai, atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas turut berkongsi harapan untuk mencipta pengalaman bermakna buat semua.

“Harapan kami agar semua peminat, baik yang lama mahupun baharu, dapat sama-sama enjoy dan menyanyi dari lagu pertama hingga ke lagu terakhir.

“Ini bukan sekadar konsert, tapi pengalaman yang penuh makna,” katanya.

Dengan persembahan dijadual bermula pukul 8 malam, peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman rasmi www.elaso.com/slamexist.

Lagu-lagu ikonik seperti “Untukmu Ibu,” “Bukan Aku Tak Cinta,” “Rahsia Pohon Cemara,” dan “Dirgahayu” pasti akan menghidupkan semula kenangan indah para pendengar.

Bagi peminat tegar, inilah peluang terbaik untuk menikmati nostalgia bersama Slam dan Exists secara langsung!

Anda Mungkin Berminat