PETALING JAYA: Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila konsert ‘Sound Of Malaysia’ (SOM) berjaya memukau lebih 3,000 penonton di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu malam.
Konsert yang sarat dengan elemen tradisional dan moden itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama erat daripada Istana Budaya (IB).
“Usai sudah penganjuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 setelah lima (5) hari berjaya menjana ilham dan aspirasi kepada lebih ratusan ribu orang pengunjung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Semalam (Sabtu), bagi meraikan kemuncak Putrajaya FOI 2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Istana Budaya (IB) telah menganjurkan konsert Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) “Sounds of Malaysia” (SOM) sebagai menghargai sokongan serta penglibatan semua pihak yang terlibat,” menurut KPT.
Hadir sama memeriahkan malam penuh magis itu ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim bersama barisan kepimpinan tertinggi kementerian dan institusi pendidikan.
SOM tampil dengan persembahan muzik yang menyentuh jiwa, menggabungkan keindahan alunan tradisional dan kemodenan kontemporari.
“Kira-kira 3,000 orang penonton hadir memeriahkan Dewan Plenari PICC bagi menyaksikan konsert yang sarat dengan persembahan muzikal gabungan elemen tradisional dan moden, tarian serta nyanyian.
“SOM merupakan siri konsert orkestra jangkauan (outreach) IB sejak tahun 2023 bagi memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia dengan kekayaan warisan budaya dan keindahan alat seni muzik tradisional pelbagai kaum tempatan,” katanya.
Lebih istimewa, konsert turut menampilkan kehebatan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang dianggotai pelajar dan artis kebudayaan daripada 12 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk UPM, UKM, UiTM, USM, UM, UUM, UPSI, UMS, USIM, UMT, UMK dan UCSI.
Sorakan gemuruh bergema apabila tiga bintang terkenal iaitu Aina Abdul, Khai Bahar dan Liza Hanim menggegarkan pentas dengan lagu-lagu hits mereka, mencuri tumpuan dan menyemarakkan suasana.
Namun, detik paling menyentuh hati hadir apabila OTM mempersembahkan lagu ‘Musafir Rindu’ sebagai penghormatan kepada Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, pengasas dan mantan konduktor orkestra yang meninggal dunia pada 29 Oktober lalu, ketika malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dipersembahkan kepada dunia.
Pemergian beliau disifatkan sebagai kehilangan besar buat dunia seni muzik tradisional tanah air, namun legasi yang ditinggalkan terus hidup dalam jiwa anak seni dan generasi muda.
KPT turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan kolaborasi bersama IB yang bukan sahaja menyatukan dunia pendidikan dan kesenian, malah membentuk keseimbangan antara ilmu dan jiwa bangsa.
“Kolaborasi ini menjadi wadah untuk memupuk semangat kebangsaan serta memperkayakan nilai kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa,” ujar kenyataan itu.
Turut hadir menyaksikan malam bersejarah itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Shamsuri Abdullah serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) IB, Johan Cruyff Mohd Johari Md Nordin.








