Konsert Udit Narayan dijangka jadi perhimpunan terbesar peminat Bollywood di Asia Tenggara

Oleh: Shafira Aziz

BAGI peminat tegar Bollywood di seluruh Asia Tenggara, pasti tidak mahu melepaskan konsert sulung penyanyi legenda, Udit Narayan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 November depan.

Memeriahkan dunia muzik Bollywood lebih tiga dekad, Udit bukan sahaja terkenal dalam kalangan peminat berbahasa Hindi, malah suaranya turut mewarnai filem dalam bahasa Tamil, Bengali, Telugu dan Kanada.

Nama Udit sudah sinonim dengan ikon-ikon Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Amir Khan dan Amitabh Bachchan, dengan suaranya menjadi latar kepada adegan-adegan romantik yang memukau.

Dengan lebih 25,000 lagu dalam lebih 36 bahasa dan 22.3 juta pendengar di Spotify, Udit terus mengukuhkan tempatnya antara legenda terbesar dalam industri muzik Bollywood.

Udit mula mencuri perhatian pada tahun 80-an dengan lagu hit Papa Kehte Hain, yang membawanya meraih anugerah Filmfare pertamanya.

Kejayaannya memuncak dengan lagu-lagu dari filem Qayamat Se Qayamat Tak, yang bukan sahaja menjadikan dia kegemaran pengarah muzik, malah melonjakkan popularitinya dalam kalangan peminat di seluruh dunia.

Turut terkenal dengan gandingan epiknya bersama penyanyi hebat seperti Alka Yagnik, Lata Mangeshkar dan Kumar Sanu, Udit menghasilkan lagu-lagu hit dari filem klasik seperti Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Mohabbatein dan Kabhi Khushi Kabhie Gham.

Suaranya yang penuh emosi dan versatil telah membawa beliau bekerjasama dengan pengarah muzik ternama seperti Anu Malik, Jatin-Lalit, A.R. Rahman dan Shankar Mahadevan.

Filem-filem dari pengarah tersohor seperti Yash Chopra, Sanjay Leela Bhansali dan Karan Johar juga sering dihiasi dengan lagu-lagu nyanyian Udit, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Raja Melodi Bollywood.

Malah, 21 lagunya dipilih dalam senarai 40 Lagu Terbaik Bollywood Sepanjang Zaman oleh BBC, satu penghormatan yang hanya diberikan kepada penyanyi paling ikonik.

Konsert yang dianjurkan oleh Filloz International dan LR Asia dijangka akan menjadi perhimpunan terbesar peminat Bollywood di Asia Tenggara.

Peminat kini berpeluang mendapatkan tiket mereka lebih awal dengan diskaun istimewa 10 peratus sehingga 16 September 2024.

Pilihan tiket bermula pada harga RM109 (Kadhal Pesase), RM199 (Papa Kehre Hain), RM399 (Bole Chudiyan), RM599 (Dil To Pagal Hai), RM899 (Kokkorakko) dan RM1,999 (Jadu Teri Nazar).

Anda Mungkin Berminat