Konsulat Malaysia Pantau Situasi Susulan Insiden Tembakan Di Brown University

NEW YORK: Konsulat Jeneral Malaysia di New York menzahirkan ucapan takziah kepada komuniti Brown University susulan insiden tembakan yang berlaku di kampus itu di Rhode Island.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak konsulat menyatakan keprihatinan terhadap kebimbangan yang mungkin dirasai oleh pelajar Malaysia di sana dan memberi jaminan bahawa keselamatan serta kebajikan mereka adalah keutamaan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pelajar Malaysia bahawa keselamatan dan kesejahteraan anda amat penting bagi kami.

“Konsulat sedang memantau situasi ini dan bersedia memberikan panduan atau sokongan sekiranya diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Konsulat turut menggesa mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular agar segera menghubungi mereka melalui saluran rasmi yang disediakan.

Konsulat Jeneral Malaysia di New York
Alamat: 313 East 43rd Street, New York, NY 10017
Telefon: +1 (212) 490 2723
E-mel: [email protected]
Media sosial: @MYCGNewYork

Terdahulu, berlaku satu insiden tembakan di Brown University pada 13 Disember lalu, mengorbankan dua nyawa dan mencederakan sembilan orang.

Kejadian itu berlaku ketika pelajar sedang menghadapi peperiksaan akhir semester dan pihak berkuasa masih memburu suspek yang melarikan diri.

Anda Mungkin Berminat