PETALING JAYA: Belum pun kontraknya berakhir, Hans Isaac dikatakan bakal berundur sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berikutan desakan tertentu untuk tidak menyambung perkhidmatannya.
Sumber dalaman industri sukan memaklumkan, Hans dijangka berundur bulan ini, tiga bulan sebelum kontraknya tamat.
Difahamkan, Timbalan Pengerusi PSM, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, berkemungkinan besar akan menggantikannya.
Bagaimanapun, memetik The Scoop, Hans enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Menurutnya, dia berkhidmat atas budi bicara menteri dan akan menyokong apa sahaja keputusan yang terbaik untuk PSM.
Dalam masa sama, beberapa menteri dikatakan sedang mempertimbangkan Hans untuk jawatan kepimpinan lain dalam agensi masing-masing.
Hans dilantik sebagai Pengerusi PSM pada Jun 2023, sebahagian daripada usaha Kementerian Belia dan Sukan membawa profesional luar ke dalam organisasi itu.
Sepanjang tempohnya di PSM, Hans turut berdepan desakan supaya meletakkan jawatan berikutan isu padang SNBJ, namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mempertahankan pelantikannya.
Di bawah pentadbirannya, PSM mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM10.64 juta tahun lalu, dengan sebahagian besar hasil diperoleh daripada acara bukan sukan seperti konsert.
Konsert Coldplay pada November 2023, misalnya, berjaya menjana RM51.9 juta daripada jualan tiket.
Dalam arena politik, beliau menyertai PKR pada 2020 dan bertanding jawatan Ketua PKR Ampang pada 2022, namun tewas kepada Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.
Hans, mula menceburi industri seni sejak 1995 sebelum bersara daripada dunia hiburan pada 2021.
Baca juga: