PETALING JAYA: Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) terus memperkukuh peranannya sebagai suara wanita progresif apabila dua usul penting yang dibawa mereka diterima dalam Konvensyen Amanah Nasional 2025, termasuk penstrukturan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan cadangan penggubalan Akta Kecerdasan Buatan (AI) dan Integriti Digital.
Dalam kenyataan media pada Ahad, AWAN berkata, semakan semula terhadap kelayakan STR perlu dilakukan secara lebih telus, adil dan amanah agar bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Semakan kelayakan (STR) agar lebih adil, bersasar dan responsif terhadap realiti kos sara hidup setempat.
“AWAN berpandangan bahawa pendekatan ‘pukal’ sedia ada tidak lagi mencerminkan keperluan sebenar rakyat khususnya mereka yang tinggal di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Sebagai langkah penambahbaikan, AWAN mencadangkan agar model zonifikasi kelayakan STR dibangunkan berasaskan median pendapatan kawasan, indeks harga pengguna (CPI) dan kos keperluan asas tempatan.
Usul kedua yang turut diterima ialah cadangan agar kerajaan menggubal undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi melindungi hak cipta, hak personaliti dan kandungan peribadi rakyat daripada penyalahgunaan teknologi seperti kandungan palsu (deepfake), manipulasi imej dan fitnah digital.
“Usul ini bagi menangani penyalahgunaan kandungan AI melalui peruntukan undang-undang jenayah dan sivil.
“Menetapkan tanggungjawab platform digital dalam pengesanan serta pelaporan kandungan manipulatif.
“Memberi perlindungan undang-undang terhadap hak cipta, imej dan suara individu dan meningkatkan literasi serta kesedaran etika digital dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Penerimaan kedua-dua usul ini, menurut AWAN, membuktikan keupayaan mereka untuk bukan sahaja memperjuangkan isu sosial dan ekonomi rakyat tetapi juga berpandangan jauh dalam membentuk dasar teknologi beretika untuk masa depan negara.
“AWAN percaya bahawa keadilan sosial dan integriti digital perlu digandingkan dalam satu kerangka dasar Rahmah yang menyeluruh melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, sambil memastikan keselamatan dan maruah insan terus terpelihara,” jelasnya.
AWAN turut menyifatkan bahawa keberanian membawa isu-isu ini ke pentas nasional adalah manifestasi komitmen Wanita Amanah untuk tampil sebagai pelindung keadilan sosial dan penjaga integriti digital negara.
“AWAN Nasional akan terus membawa suara wanita dan mengangkat Rahmah sebagai dasar, dan memaknai Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin demi Malaysia yang lebih beradab, berintegriti dan berperikemanusiaan,” ujarnya.








