Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 Fokus Kurang Pembaziran, Ringankan Kos Sara Hidup

PETALING JAYA: Menteri Perdagangan dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali merasmikan Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pada Isnin.

Konvensyen anjuran Yayasan Food Bank Malaysia itu diadakan selama dua hari bermula 8 hingga 9 Disember 2025 dan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan, industri serta pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam ucapannya, Armizan berkata Program Food Bank Malaysia (PFBM) merupakan inisiatif strategik negara bagi mengumpul dan mengagihkan lebihan makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Usaha ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat, malah menangani isu pembaziran makanan yang semakin membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan pengurusan sisa makanan perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dengan memanfaatkan teknologi moden dan kerjasama pelbagai pihak.

Pada hari pertama konvensyen, perbincangan memfokuskan pendekatan bersepadu menangani kos sara hidup serta pengurusan lebihan makanan yang lebih berkesan dan mampan.

Sebanyak 16 panel terlibat dalam beberapa sesi perkongsian merangkumi dasar, amalan terbaik industri serta inovasi teknologi berkaitan sistem food surplus.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar; Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Haji Amran Haji Ahmad; Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Datuk Azman Adam serta barisan pengurusan kanan kementerian.

Program Food Bank Malaysia diperkenalkan sebagai inisiatif nasional bagi menyelaras pengumpulan lebihan makanan daripada pembekal dan pengedar untuk diagihkan kepada komuniti memerlukan, sejajar agenda Malaysia MADANI dan Ekonomi MADANI.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat