Konvensyen PH 2026: Madani laksana tanggungjawab, tak dahaga populariti – Amirudin

Oleh: Tyah Helmi

JOHOR BAHRU: Kerajaan Madani merupakan sebuah pentadbiran yang bertanggungjawab dan tidak mengejar populariti, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, langkah-langkah Kerajaan Madani seperti penyusunan semula subsidi yang mungkin tidak popular, namun berani kerana tindakan itu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

“Sebagaimana langkah kerajaan memperkenalkan penyusunan balik subsidi tetapi subsidi budi RON95 membuktikan, walaupun nampak tidak popular, walaupun nampak akan membebankan kita tapi inilah Kerajaan Madani yang bertanggungjawab, bukan hanya mahu populariti,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada Ahad.

Tambah beliau, Pakatan Harapan turut berpandukan surah Al-Balad yang menjadi asas kepada gabungan itu dalam menguruskan pentadbiran negeri serta negara.

“Apabila saya petik dalam surah Al-Balad Inilah asas pakatan harapan, inilah asas Madani yang kita akan teruskan dalam penggal akan datang di peringkat Malaysia,” katanya.

Kata beliau, melihat kepada kejayaan yang dicapai di negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut menjadi bukti bahawa PH bersiap-siaga untuk menghadapi mandat lebih besar dalam semasa pertandingan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak.

Justeru, beliau mengingatkan kepada seluruh akar umbi, ahli-ahli dan jentera PH bahawa wujudnya variasi cabaran baru yang perlu dihadapi termasuk isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat daripada pelbagai kaum.

“Apa yang dikatakan (PH) mahu rasa selamat, Hari ini, lawan politik kita adalah beberapa pihak yang kurang senang dengan serangan ‘ multi-culturism’ dan juga ‘multi-racial’ politik yang menjadi asas kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat