Kopitiam Ali, Muthu & Ah Hock Cipta Rekod Jualan Nasi Lemak

PETALING JAYA: Jenama kopitiam tempatan, Ali, Muthu & Ah Hock, mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) selepas mencatat jualan sebanyak 452,162 pinggan nasi lemak sepanjang tahun 2024.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kekuatan jenama tempatan, malah menyerlahkan potensi besar sub-sektor makanan dan minuman dalam memperkukuh ekonomi domestik.

“Lebih membanggakan, inisiatif Ali, Muthu & Ah Hock menawarkan diskaun 50 peratus untuk menu nasi lemak sempena Bulan Kebangsaan 2025 adalah contoh terbaik bagaimana perniagaan boleh menyemarakkan semangat patriotik,” kata kementerian itu.

Diasaskan pada tahun 2012, kopitiam ini kini mempunyai 18 cawangan di seluruh negara, menjadikannya antara jenama F&B paling pesat berkembang.

KPDN turut memuji pendekatan jenama tersebut yang mengangkat nilai perpaduan sebagai teras perniagaan.

“Konsep perpaduan yang dibawa melalui jenama Ali, Muthu & Ah Hock wajar dijadikan teladan kerana menggabungkan promosi perniagaan dengan nilai kebersamaan rakyat Malaysia,” kata kementerian itu lagi.

Dalam kenyataan sama, KPDN menyeru lebih banyak usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk tampil dengan strategi kreatif dan memanfaatkan platform digital bagi memperluas capaian produk tempatan.

“Industri tempatan juga berperanan besar dalam menarik minat pelancong asing, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya lagi.

Sementara itu, Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menunjukkan ekonomi negara berkembang 4.4 peratus pada Suku Kedua 2025, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh.

Sub-sektor borong dan runcit serta makanan dan minuman mencatat pertumbuhan 5.1 peratus, berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.

Anda Mungkin Berminat