KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempelawa ahli parlimen pembangkang yang membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) agar tinggal di flat usang sekitar ibu negara bagi merasai sendiri keadaan hidup penduduk bandar berpendapatan rendah.
Menurut beliau, pelawaan itu termasuk tawaran untuk mendiami unit kosong tanpa dikenakan sewa, bagi membantu mereka memahami keperluan akta berkenaan.
“Minggu lalu, kita bawa semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara lawat rumah flat. Sebelah rumah itu pun ada ular sawa. Jadi, kalau masih bantah, saya jemput bawa isteri, anak dan tinggal sana, rasa sendiri susahnya rakyat miskin bandar,” katanya.
Tambahnya, pembangkang sebelum ini dua kali dijemput ke sesi penerangan Akta PSB namun gagal hadir walaupun pada awalnya menyatakan persetujuan.
“Ponteng lagi… bukan saja ponteng Parlimen. Bila kita nak bantu rakyat, dia pun ponteng juga,” katanya, memetik berita tempatan pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Nga turut mengulas isu kios peniaga yang dibina pihak berkuasa tempatan (PBT) namun masih tidak digunakan walaupun telah lama siap.
Beliau mengakui terdapat kelemahan dalam pengagihan dan memberi jaminan tindakan segera sedang diambil.
“Inisiatif ini untuk membantu peniaga kecil, khususnya yang tidak berlesen. Fasa pertama ada kekangan kerana panel solar tidak cukup kuat – hanya bertahan empat jam.
“Untuk fasa kedua, kita gunakan teknologi yang lebih baik dengan bateri lebih tahan lama dan sedang dalam pembinaan,” jelasnya.
Beliau berkata, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan telah diarahkan menyegerakan tindakan, manakala PBT perlu tampil memberi penjelasan berhubung unit kios yang masih belum diagihkan.
“Kita ada 156 PBT di seluruh negara dan mereka bertanggungjawab dalam proses permohonan, kelulusan dan pengagihan,” katanya.
Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi pembinaan kios pada tahun lalu, meningkat berbanding RM50 juta pada tahun sebelumnya.
Baca juga: