PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan para peniaga kecil diingatkan agar berperanan penuh amanah dan tanggungjawab demi keharmonian bersama khususnya sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kesemua 156 PBT perlu menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan integriti, manakala peniaga juga perlu memastikan bahawa mereka mematuhi undang-undang dan memperolehi lesen atau permit yang sah termasuk lesen sementara sebelum mula berniaga.
“Saya memahami bahawa ramai peniaga kecil gigih mencari rezeki sepanjang musim perayaan ini. Pada masa yang sama, PBT juga diberi amanah melaksanakan tanggungjawab mereka supaya kawasan perniagaan adalah selamat, mengikuti undang-undang dan selesa untuk orang ramai.
“Kerjasama dan persefahaman antara dua pihak adalah kunci kepada keharmonian masyarakat.
“Justeru, jika berlakunya pemasalahan atau pertelingkahan, kita mesti mencari cara penyelesaian secara rasional supaya mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan media di Facebook pada Isnin.
Tambah beliau, pihak KPKT akan terus memantau untuk memastikan semua PBT mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam proses penguatkuasaan supaya aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan lancar dan kesejahteraan masyarakat turut dipelihara.
Terdahulu, timbul kekecohan peniaga belon tidak berlesen yang mendakwa dikasari pegawai PBT yang memintanya beredar dari situ.
Baca juga: