KAJANG: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia pagi Ahad, menjadikan dua korban dalam tragedi tersebut.
Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, meninggal dunia kira-kira pukul 11 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.
Memetik laporan Berita Harian, adik mangsa, Mohd Haswad Anuar, 42, berkata, Allahyarham sebelum ini dirawat akibat kecederaan serius selepas terbabit dalam nahas berkenaan.
Menurut Ahmad Haswad, abangnya meninggal dunia selepas menerima rawatan.
Allahyarham meninggalkan dua cahaya mata.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda, Klang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, turut mengesahkan perkara itu.
Mangsa berusia 48 tahun yang juga penjawat awam disahkan meninggal dunia pada pukul 11 pagi Ahad.
Jenazah akan diserahkan kepada keluarga selepas proses bedah siasat dijalankan.
Siasatan lanjut berhubung kemalangan diteruskan.
Difahamkan, Mohd Hafizi, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, merupakan penumpang dalam sebuah Nissan X-Trail.
Ketika kejadian, beliau bersama seorang lagi kakitangan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal JKR baru selesai tugasan di Penjara Kajang dan dalam perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.
Dalam nahas yang berlaku di Plaza Tol Bukit Kajang itu, seorang bayi maut, manakala lapan individu lain cedera selepas empat kenderaan terbabit dirempuh sebuah lori.








