Korea Selatan Tegas Perkukuh Kerjasama ASEAN Banteras Jenayah Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR: Korea Selatan berikrar untuk mempertingkat kerjasama dengan ASEAN dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa dan menjadikan golongan muda sebagai mangsa utama di rantau ini.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, menyuarakan komitmen tersebut ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea (ROK) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara pada Isnin.

Ini merupakan penampilan sulung beliau dalam perhimpunan serantau itu sejak dilantik sebagai Presiden pada Jun lalu.

Dalam ucapannya, Jae Myung meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan dalam talian yang mensasarkan rakyat Korea termasuk insiden tragis melibatkan seorang pelajar universiti yang maut selepas diperdaya bekerja di pusat penipuan di Kemboja.

“Rangkaian jenayah terancang seperti pusat penipuan berkembang di kawasan sempadan dengan tahap penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan malangnya ramai anak muda menjadi mangsa,” katanya.

Bagi menangani ancaman itu, beliau mengumumkan bahawa Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan akan bekerjasama rapat dengan Polis ASEAN (ASEANAPOL) untuk membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan dan memastikan ia tidak terus berleluasa.

Jae Myung turut menegaskan komitmen Seoul untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai bersama ASEAN tahun lalu.

Beliau turut mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak Khas Korea Selatan–ASEAN pada tahun 2029, bersempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, visi CSP bukan sekadar kerjasama ekonomi, tetapi juga sebagai landasan untuk membina masa depan bersama yang lebih aman dan inovatif.

“Di bawah inisiatif ini, Korea Selatan menyasarkan peningkatan jumlah lawatan timbal balik kepada 15 juta orang setahun dan nilai perdagangan dua hala kepada RM1.27 trilion.

“Korea Selatan juga akan memainkan peranan lebih aktif dalam memerangi jenayah rentas sempadan, memperkukuh keselamatan maritim serta menyokong usaha bantuan bencana bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat